Monday, July 25, 2016

KRG BM1(A) Peranan Pengawas Pusat Sumber

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.

             Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah?
            Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong membersihkan pusat sumber  akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas  di atas rak-rak  buku mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber. Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
            Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam. Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru, pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi pusat sumber.
            Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan menyediakan  komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi  penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik. Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.
            Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada  pengawas  menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja  tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh yang ditetapkan.
            Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara ‘ scaning’. Kaedah ini akan mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan efektif  adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
            Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir  yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau sebaliknya,  tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.


TBHS SOALAN 3E Peribahasa 2005-2014

SOALAN 3 (e) : KEMAHIRAN PERIBAHASA

SPM 2005
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.

(i) Walaupun kita berasa kasihan atas nasib malang yang menimpa Amira, tetapi dia yang menanggungnya tentulah berasa lebih perit lagi.

(ii) Jamal menikmati segala kemewahan yang disediakan oleh bapanya tetapi dia tidak gembira kerana tidak dibenarkan bergaul bebas sesuka hati seperti remaja lain.

(iii) Perbelanjaan kita biarlah bersesuaian dengan pendapatan dan janganlah kita berbelanja berlebih-lebihan.

i. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
ii. Seperti burung di dalam sangkar, mata lepas badan terkurung
iii. Ukur baju di badan sendiri

 SPM 2006
Baca dialog di bawah dengan teliti, kemudian senaraikan peribahasa atau kata-kata hikmat yang sesuai untuk diisikan pada tempat kosong.

Amir : Ramai pengguna bahasa Melayu suka menggunakan bahasa rojak semasa
berkomunikasi
Sofea : Yalah, bukan itu sahaja! Media massa pun sering mengabaikan penggunaan bahasa
yang betul.
Amir : Jika kita sayang akan bahasa, kita mesti menggunakan bahasa yang betul pada
setiap masa dan keadaan, kerana……………(i)………………
Sofea : Media massa perlulah memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam
mendaulatkan bahasa Melayu tanpa perlu berdolak-dalik, bak kata pepatah
` ………………(ii)…………………..
Amir : Saya bersetuju dengan pendapat kamu. Media massa dapat menyalurkan idea dan
kritikan dengan lebih berkesan kerana………………….(iii)……………

i. Bahasa jiwa bangsa/Bahasa menunjukkan bangsa
ii. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
iii. Mata pena lebih tajam daripada mata pedang

SPM 2007
Berikan maksud peribahasa di bawah.

(i) Bahasa Jiwa Bangsa
(ii) Bagai dakwat dengan kertas
(iii) Seperti air dalam kolam

i. Bahasa merupakan lambang keperibadian/identiti bangsa
ii. Tidak pernah bercerai; sangat cocok
iii. Orang yang tenang sikap dan tingkah lakunya

SPM 2008
Tulis ayat berdasarkan setiap peribahasa di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksud dan penggunaannya.

(i) Bagai menatang minyak yang penuh.
(ii) Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
(iii) Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah.

i. Mak Minah menjaga anak saudaranya bagai menatang minyak yang penuh kerana dia tidak mempunyai anak kandung. (Maksud: Diperlakukan dengan sangat hati-hati/dan penuh kasih sayang)
ii. Walaupun Ali hendak merantau jauh ke benua Eropah, ibu bapanya tidak membantah kerana mereka yakin Ali pandai menjaga diri, seperti kata pepatah benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau. (Maksud: Yang baik itu biar di mana pun tempatnya, akan tetap baik juga)
iii. Walaupun sedikit, keuntungan yang diperoleh koperasi pekebun kecil itu dibahagi sama rata ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. (Maksud: Pembahagian yang sama rata)

SPM JUN 2009
Berikan maksud peribahasa di bawah.

(i) Tiada rotan akar pun berguna.
(ii) Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
(iii) Kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.

i. Kalau tiada yang baik, maka yang kurang baik pun boleh juga.
ii. Menceritakan cela cacat sendiri atau keluarganya, maka diri sendiri juga yang dapat malu.
iii. Janji yang sudah diucapkan mestilah ditepati, kerana harga manusia terletak pada janjinya itu

SPM 2009
Baca dialog di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai bagi mengisi tempat kosong dalam dialog tersebut.

Ayah : Syafik, jagalah diri baik-baik ketika di rantau orang. Di sana nanti sesuaikan
diri dengan budaya dan adat resam mereka. Ikutlah nasihat orang tua-tua,
iaitu…………..(i)………………….
Syafik : Terima kasih ayah. Saya akan sematkan nasihat ayah itu dalam hati saya.
Ayah : Di luar negara nanti ayah berharap Syafiq belajarlah rajin-rajin. Setelah berjaya
kelak, berkhidmatlah kepada negara ini kerana kerajaan memerlukan tenaga
muda untuk membangunkan negara, bak kata peribahasa……………(ii)………..
Syafik : Saya tidak lupa akan nasihat ayah itu.
Ayah : Satu lagi, jika ada peluang, jelajahilah negara orang dan timbalah pengalaman
sebanyak-banyaknya kerana…………(iii)………………..

i. di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung/masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
ii. pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
iii. Jauh berjalan luas pemandangan

SPM JUN 2010
Berikan maksud peribahasa di bawah.

(i) Bagai lebah menghimpunkan madu.
(ii) Seperti si buta baru celik.
(iii) Kemenyan sebesar lutut; jika tidak dibakar, tidak akan berbau.

i. Sangat rajin
ii. Menjadi sombong apabila memperoleh kejayaan
iii. IImu atau kepandaian yang tidak digunakan atau diajarkan kepada orang lain tidak membawa faedah

SPM 2010
Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

Sekolah merupakan institusi formal yang mampu melahirkan modal insan yang akan memajukan negara. Bagi mencapai matlamat ini, guru-guru hendaklah menjalin hubungan yang erat dengan murid-murid di samping bekerjasama bagai …………….(i)………………
Selain itu, mereka perlulah berusaha dengan gigih dan rajin untuk menempa kecemerlangan kerana…………..(ii)………………… . Sebagaimana yang diketahui, resepi kejayaan seseorang murid ialah permuafakatan antara guru dengan ibu bapa dalam melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan prestasi murid-murid dalam akademik. Apabila bermuafakat, sesuatu kejayaan mudah diperoleh kerana …………….(iii)……………….

i. aur dengan tebing
ii. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
iii. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

SPM JUN 2011
Berikan maksud peribahasa di bawah.

(i) Besar pasak daripada tiang.
(ii) Cepat kaki ringan tangan.
(iii) Pantang berundur sebelum berjuang.

i. Perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan
ii. Rajin dan giat
iii. Tidak mudah berputus asa sebelum berjaya

SPM 2011
Baca maksud peribahasa di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud peribahasa tersebut.

(i) Pasangan yang sepadan.
(ii) Sesuatu yang tidak akan terjadi jika satu pihak sahaja yang melakukannya.
(iii) Orang yang merantau akhirnya kembali ke tempat asal.

i. Bagai pinang dibelah dua/bagai cincin dengan permata
ii. Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi
iii. Belut pulang ke lumpur/Ikan pulang ke lubuk/Setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya hinggap di belakang kerbau

SPM JUN 2012
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan situasi dalam ayat-ayat tersebut.

(i) Sekalipun kita digalakkan supaya berbuat baik, tetapi perlu berhati-hati supaya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan kita itu. Walau bagaimanapun, janganlah kita berfikir untuk melakukan kejahatan sepanjang hayat.

(ii) Semua anak imam itu berjaya dalam bidang akademik dan bidang keagamaan. Hal ini tidaklah menghairankan kerana mereka berketurunan orang yang baik-baik.

(iii) Arif menuduh Irfan mencuri telefon bimbitnya tetapi Irfan menafikannya. Berikutan kejadian itu, ibu Arif menasihatinya supaya tidak membuat tuduhan secara melulu kerana tindakan itu boleh menyebabkan pergaduhan.

i. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali
ii. Bagaimana acuan begitulah kuihnya
iii. Serkap jarang

SPM 2012
Berikan maksud peribahasa di bawah.

(i) Membaca jambatan ilmu.
(ii) Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.
(iii) Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

i. Ilmu pengetahuan dapat dipertingkatkan melalui pembacaan.
ii. Sedikit demi sedikit lama-lama berhasil juga.
iii. Kata sepakat tercapai dengan mesyuarat.

SPM JUN 2013
Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

Mengenang budi memang menjadi amalan masyarakat kita sejak dahulu lagi. Orang yang banyak berbakti dan berjasa tetap akan dikenang sekalipun orang itu telah meninggal dunia seperti yang terungkap dalam peribahasa ………………(i)………………. . Namun begitu, terdapat juga segelintir anggota masyarakat yang tidak mengenang budi sebagaimana yang digambarkan oleh peribahasa …………..(ii)………………. . Oleh itu kita dinasihati supaya tidak lupa akan jasa dan bakti yang diterima, malah cubalah berusaha untuk membalasnya kerana peribahasa ada menyebut ……………(iii)……………
i. harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
ii. seperti kacang lupakan kulit
iii. orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa

SPM 2013
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud ayat tersebut.

(i) Sengaja mencari susah atau bahaya.
(ii) Sesuatu yang sudah pasti diperoleh atau dimiliki.
(iii) Orang yang bodoh kalau ada kesungguhan mempelajari sesuatu lama-lama akan pandai juga.

i. Tiada beban batu digalas/mendukung biawak hidup/menjolok sarang tebuan
ii. Dalam tangan
iii. Belakang parang kalau diasah lagikan tajam

SPM JUN 2014
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan situasi dalam ayat-ayat tersebut.

(i) Ghazali mewarisi kebijaksanaan ayahnya dalam menguruskan perniagaan keluarga mereka.
(ii) Nadia cepat memahami dan menguasai apa-apa sahaja yang diajar oleh guru-gurunya.
(iii) Dia disenangi oleh rakan-rakannya kerana rajin bekerja dan sedia memberikan bantuan apabila diperlukan.

i. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi/bagaimana acuan begitulah kuihnya/bapa borek anak rintik
ii. Terang hati/otak cair/ringan kepala/tajam akal
iii. Ringan tulang


Wednesday, July 13, 2016

KRG BM1(A) Memartabatkan Permainan Tradisional

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan  tradisional di negara kita.  
         
            Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
            Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional. Remaja pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai  generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan  memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan  permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
            Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan  adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya  lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada generasi muda masa ini.
            Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya  juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
            Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara
            Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.



Saturday, April 30, 2016

OBT


                                      
 
 
SMK COCHRANE
55100 KUALA LUMPUR
 
 

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

TINGKATAN 4 /  2016

 

 


BAHASA  MELAYU

OPEN BOOK TEST
  
AYAT MAJMUK (AM)

1.
Maksud AM
2.
Nyatakan 3 jenis AM
3.
Maksud AM Gabungan & contoh satu binaan ayat
4.
Nyatakan 2 jenis AM Gabungan
5.
Kemukakan satu contoh binaan ayat AMG Berurutan Fakta
6.
Kemukakan satu contoh binaan ayat AMG Pertentangan Fakta
7.
Nyatakan 3 jenis AM Pancangan (AMP)
8.
Beri definisi AMP Relatif & satu contoh binaan ayat
9.
Beri definisi AMP Komplemen  & satu contoh binaan ayat
10.
Beri definisi AMP Keterangan
11.
Nyatakan jenis-jenis AMP Keterangan
12.
Beri definisi AMP Keterangan Sebab  & satu contoh binaan ayat
13.
Beri definisi AMP Keterangan Waktu  & satu contoh binaan ayat
14.
Beri definisi AMP Keterangan Syarat  & satu contoh binaan ayat
15.
Beri definisi AMP Keterangan Cara  & satu contoh binaan ayat
16.
Beri definisi AMP Keterangan Harapan & dua contoh kata hubung
17.
Beri definisi AMP Keterangan Pertentangan & dua contoh kata hubung
18.
Beri definisi AMP Keterangan Akibat  & dua contoh kata hubung
19.
Beri dua contoh kata hubung AMP Keterangan Perbandingan  & satu contoh binaan ayat
20.
Beri dua contoh kata hubung AMP Keterangan Tujuan  & satu  contoh binaan ayat

OBT TAMAT.

Thursday, April 7, 2016

KRG Langkah-Langkah Mengatasi Penyalahgunaan Dadah ...


Langkah-Langkah Mengatasi Penyalahgunaan Dadah

Dewasa ini, gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat negara kita semakin serius dan tidak dapat dibendung lagi. Hal ini demikian kerana, dadah yang pada asalnya menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah ini timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronakan diri sendiri.

Terdapat pelbagai langkah untuk menghindari daripada kegiatan penyalahgunaan dadah supaya fenomena ini berkurang dan kalau boleh dihapuskan sama sekali. Antaranya ialah:-

1.      Pihak kerajaan mengenakan hukuman yang berat.

Misalnya diberikan hukuman mati (gantung) bagi pengedar dadah. Hal ini adalah kerana tanpa pengedar dadah ini sudah tentu penagih akan sukar memperoleh bekalan dadah. Begitu juga kepada penagih dadah dikenakan hukuman yang berat. Sebagai contoh, hukuman bagi penyalahgunaan dadah jenis ‘Syabu’. Kesalahan mengedar dadah Syabu iaitu antara 20 gram hingga 50 gram (di bawah seksyen 3 (a) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27). Hukuman minima ialah 20 tahun penjara dan 15 kali sebat dan  hukuman maksima pula adalah 30 tahun penjara dan 15 kali sebat.  Jika melebihi daripada 50 gram akan dikenakan hukuman mati (gantung). Manakala kesalahan bagi memakan dadah Syabu di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27, boleh dijatuhkan hukuman maksima 10 tahun penjara atau RM20,000.00 atau kedua-duanya sekali.

2.      ( Langkah selanjutnya ialah ) Melaksanakan pendidikan untuk mencegah daripada penyalahgunaan dadah.

Pihak yang berkenaan sama ada kerajaan mahupun swasta dalam usaha untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah perlu mengadakan pendidikan untuk mencegah. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan kesedaran mereka. Selain itu, pihak yang berkenaan boeh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan motivasi dan sebagainya.

3.      ( Langkah seterusnya ialah ) Perlu mewujudkan kerjasama antara orang awam dan kerajaan.

Hal ini bertujuan supaya sentiasa berganding bahu bagi sama-sama membanteras isu penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa terutama dalam kalangan golongan remaja. Sebagai contoh, masyarakat dan pihak kerajaan perlu memata-matai serta bertindak pantas dalam melaporkan kegiatan-kegiatan yang mencurigakan. Ibu bapa perlu mengawasi dan bertanggungjawab dalam menjaga anak-anak mereka. Selain itu, kawalan kastam yang ketat perlu dilaksanakan.

4.      ( Di samping itu, perlunya langkah ) Penubuhan pusat-pusat pemulihan.

Pihak kerajaan juga telah menubuhkan rumah-rumah pemulihan yang bertujuan untuk memberi rawatan bagi penagih-penagih sama ada dari berbagai peringkat umur, bangsa dan lain-lain. Sebagai contoh, agensi PEMADAM telah menubuhkan sebuah rumah pemulihan yang dikenali sebagai PRABILA di Sungai Besi Kuala Lumpur untuk merawat serta memulihkan pemikiran mental serta tingkah laku  mereka kepada jalan yang benar serta diredhai Tuhan .

    Konklusinya, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu berganding bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama negra dan dadah boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Sebagai pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, biarlah kita hidup bahagia tanpa dadah. Kita juga tidak mahu masalah penyalahgunaan dadah ini mencemarkan nama baik bangsa amnya dan negara khususnya.

KRG Punca-Punca Penagihan Dadah Dalam Kalangan Remaja

Punca-Punca  Penyalahgunaan Dadah

Dewasa ini, gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat negara kita semakin serius dan tidak dapat dibendung lagi. Hal ini demikian kerana, dadah yang pada asalnya menjadi ubat penahan sakit sebenarnya tidak berbahaya jika tidak disalahgunakan. Masalah ini timbul apabila manusia menyalahgunakannya untuk kepuasan dan keseronokan diri sendiri.

Terdapat beberapa punca atau sebab penglibatan penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan remaja. Antaranya ialah:

1.      Kekurangan Perhatian Daripada Ibu Bapa

Hal ini memang tidak dapat dinafikan terutamanya dalam era mengejar kesenangan hidup pada hari ini. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan keperluan asas yang bertaraf tinggi untuk keluarga. Secara tidak langsung, masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlaluan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke lembah penagihan najis dadah.

2.    ( Punca selanjutnya ialah )   Pengaruh Rakan Sebaya.

Hal ini demikian kerana kebanyakan masa remaja diluangkan bersama dengan rakan sebaya mereka. Oleh itu, pemilihan rakan yang sesuai haruslah dilakukan dengan bijaksana oleh setiap remaja. Sekiranya rakan sebaya yang digauli oleh mereka terlibat dalam pengambilan dadah, secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut-ikut dengan sikap rakan mereka.Budaya ini harus dikikis kerana hanya akan menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius. Para remaja perlu bersikap rasional pada setiap masa.

3.     ( Punca seterusnya ialah ) Tekanan / Depressi.

Kini, remaja bukan hanya berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah semata-mata. Harapan yang tinggi oleh ibu bapa agar mereka mencapai prestasi yang cemerlang dalam pelajaran telah menjadi suatu tekanan yang hebat kepada remaja. Selain menghadiri kelas di sekolah, mereka terpaksa menghadiri kelas-kelas yang lain seperti kelas tuisyen, muzik, tarian, seni pertahanan diri dan sebagainya bagi memenuhi kehendak ibu bapa. Akibatnya, mereka tidak mempunyai masa yang tersendiri untuk beristirahat dan melakukan hobi yang digemari oleh mereka. Tekanan ini akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononnya ingin mencari ketenangan jiwa. Mereka berpendapat bahawa pengambilan dadah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam sekelip mata sahaja.

4.       ( Di samping itu, berpunca kepada faktor )  Kurangnya  Pendidikan Agama

Pada masa sekarang, kebanyakan remaja yang terlibat dengan dadah adalah disebabkan oleh kurangnya pendidikan agama. Hal ini berlaku kerana ibubapa tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Tambahan lagi,  dalam dunia moden ini remaja sangat terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka. Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan perkara yang telah dilarang oleh agama. Oleh itu, pendidikan agama amatlah penting bagi menghalang atau menghindari dari perbuatan yang di anggap hina.

5.      Pengaruh Media Cetak Dan Media Elektronik

Pada masa kini, remaja sangat terdedah dengan media cetak dan media elektronik. Hal ini adalah kerana melalui kedua-dua media ini dapat memberikan maklumat atau bahan yang tidak diperoleh di sekolah mahupun di dalam buku teks sekolah. Walau bagaimanapun, kedua-dua media ini juga memberi pengaruh yang amat besar terhadap remaja hingga boleh mengubah tingkah laku serta akal fikiran mereka. Remaja bertindak melulu tanpa memikirkan perkara yang dibuat itu betul atau salah.

  Konklusinya, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu berganding bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama negara dan dadah boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Sebagai pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, biarlah kita hidup bahagia tanpa dadah. Kita juga tidak mahu masalah penyalahgunaan dadah ini mencemarkan nama baik bangsa amnya dan negara khususnya.

Wednesday, January 27, 2016

TBHS S3(b) Kemahiran Sintaksis

KEMAHIRAN SINTAKSIS

SPM 2005

 Tukar ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Tugas mengisi kemerdekaan negara akan kita pikul bersama-sama.
(ii) Semenjak program kitar semula dilancarkan oleh kerajaan, tahap kebersihan di kawasan kediaman semakin meningkat.
(iii) Sebuah gelanggang badminton telah dibina oleh mereka secara gotong-royong pada minggu lepas.

 i. Kita akan memikul tugas mengisi kemerdekaan negara bersama-sama.
ii. Semenjak kerajaan melancarkan program kitar semula, tahap kebersihan di kawasan kediaman semakin meningkat.
iii. Mereka telah membina sebuah gelanggang badminton secara gotong-royong pada minggu lepas.

SPM 2006

 Cerakinkan setiap ayat majmuk di bawah kepada dua ayat tunggal.

(i) Adakah Encik Amran hendak ke Muzium Negara atau ke Putrajaya?
(ii) Pendebat itu petah berhujah dan bijak mematahkan hujah lawan.
(iii) Siswazah yang berpandangan jauh tidak mengharapkan kerja makan gaji sahaja.

 i. Adakah Encik Amran hendak ke Muzium Negara?
Adakah Encik Amran hendak ke Putrajaya?

 ii. Pendebat itu petah berhujah
Pendebat itu bijak mematahkan hujah lawan.

 iii. Siswazah itu berpandangan jauh
Siswazah itu tidak mengharapkan kerja makan gaji sahaja.

 SPM 2007

 Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Saya telah menghasilkan beberapa buah buku masakan tradisional antara tahun 2000 hingga 2006.
(ii) Setiap petang kamu mesti menyiram sayur-sayuran di belakang rumah.
(iii) Pelatih Program Latihan Khidmat Negara menjalani latihan intensif selama tiga bulan.

 i. Beberapa buah buku masakan tradisional telah saya hasilkan antara tahun 2000 hingga 2006.
ii. Sayur-sayuran di belakang rumah mesti kamu siram setiap petang.
iii. Latihan intensif selama tiga bulan dijalani oleh pelatih Program Latihan Khidmat Negara.

 
SPM 2008

Nyatakan pola bagi ayat-ayat di bawah sama ada ayat tersebut berpolakan Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN) +, Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA) atau Frasa Nama + Frasa Sendi (FN + FS).

 (i) Baju sutera ini untuk ibu.
(ii) Kuda putih itu berlari pantas.
(iii) Sekolah baharu itu sangat cantik landskapnya.
(iv) Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan Malaysia.
(v) Penduduk kampung akan bergotong-royong pada hujung minggu ini.
(vi) Encik Ramli guru mata pelajaran Bahasa Melayu di SMK Seri Murni.

 i. Baju sutera ini (FN) untuk ibu.(FN)
ii. Kuda putih itu (FN) berlari pantas.(FK)
iii. Sekolah baharu itu (FN) sangat cantik landskapnya.(FA)
iv. Tun Abdul Razak (FN) Bapa Pembangunan Malaysia.(FN)
v. Penduduk kampung (FN) akan bergotong-royong pada hujung minggu ini. (FK)
vi. Encik Ramli (FN) guru mata pelajaran Bahasa Melayu di SMK Seri Murni. (FN)

SPM 2009

Kenal pasti dan tulis subjek dan predikat yang lengkap bagi setiap ayat seperti yang berikut:

Subjek :_____________________________________________________
Predikat :_____________________________________________________

(i) Kami dilayan dengan mesra oleh pekerja restoran tersebut.
(ii) Ketinggian Gunung Kinabalu 4014 meter.
(iii) Pada setiap petang Sabtu, kami sekeluarga ke perpustakaan.
(iv) Taman Tasik Perdana terkenal oleh landskapnya yang menarik.
(v) Murid yang pintar itu bercita-cita untuk menjadi angkasawan.
(vi) Demi membiayai kos pelajaran anak-anak, ibu bapa sanggup bergolok-bergadai.

 i. Subjek : Kami
Predikat : dilayan dengan mesra oleh pekerja restoran tersebut.

 ii. Subjek : Ketinggian Gunung Kinabalu
Predikat : 4014 meter.

 iii. Subjek : Kami sekeluarga
: ke perpustakaan pada setiap petang Sabtu

 iv. Subjek : Taman Tasik Perdana
Predikat : terkenal oleh landskapnya yang menarik.

 v. Subjek : Murid yang pintar itu
Predikat : bercita-cita untuk menjadi angkasawan.

 vi. Subjek : Ibu bapa
Predikat : sanggup bergolok-bergadai demi membiayai kos pelajaran anak-
anak.