Bab 1 - Darah Pahlawan
Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih kecil) bersama keluarganya. Pak Saidi berasa amat gembira kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki. Yang sulung bernama Adnan, yang tengah bernama Ahmad dan yang bongsu dinamakan Amarullah. Tiga beradik itu membesar di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Adnan sekeluarga memiliki darah pahlawan – moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. Namun begitu Pak Saidi tidak suka menghebah-hebahkan cerita itu kerana sentimen 'siapa yang menentang Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah ( British) tidak suka kepada sesiapa yang menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak banyaknya hasil bumi daripada Tanah Melayu.
Bab 2 - Kampung Sungai Ramal
Adnan bermimpi mengenai kehebatan Hang Tuah dan kawan-kawannya. Dia sangat menggemari kisah kepahlawanan Hang Tuah. Sebelum tidur emaknya akan bercerita mengenai kisah-kisah pahlawan dahulu kala. Setiap pagi, Pak Saidi akan membawa anak sulungnya ke tempat kerjanya. Tujuannya ialah untuk mengajar anaknya itu mengenai betapa susahnya untuk mencari rezeki. Pak Saidi memiliki satu hektar kebun getah dan sebidang tanah sawah tinggalan orang tuanya yang menjadi sumber pendapatan kepada Pak Saidi untuk menyara keluarganya. Penduduk kampung Sungai Ramal bergantung hidup kepada aktiviti pertanian sepenuhnya. Mereka akan mengusahakan sawah padi dan menoreh getah untuk mendapatkan sumber pendapatan. Namun, terdapat segelintir penduduk kampung yang lebih suka menghabiskan masa dengan bersembang di warung kopi milik Pak Samad yang terletak di persimpangan kampung. Pak Saidi dan Adnan singgah sebentar di warung tersebut untuk melepaskan lelah. Warung itu tidak pernah sunyi dengan riuh-rendah suara penduduk kampung yang menjamu selera sambil berbual dan ada juga yang bermain dam.
Bab 3 - Harapan Seorang Ayah
Pak Saidi disambut oleh anak-anaknya apabila pulang dari menoreh getah. Hatinya gembira apabila melihat gelagat anak-anaknya itu. Sambil duduk berehat di atas pangkin kayu, Pak Saidi melihat gelagat anak-anaknya yang sedang berlatih silat. Adnan mengajak adik-adiknya untuk berlawan dengannya. Walaupun perlawanan itu melibatkan dua lawan satu, namun Adnan tidak mudah dikalahkan oleh kedua-dua adiknya kerana sikapnya yang tidak mahu mengalah. Setiap kali mereka bersilat, Adnan yang selalu menang. Pak Saidi dapat melihat semangat pahlawan yang ada dalam diri anak sulungnya itu. Walaupun tidak berpelajaran, tetapi Pak Saidi mempunyai wawasan serta keazaman yang tinggi terhadap masa depan anak-anaknya.
Bab 4 - Dusun Durian Di Tanah Perkuburan
Pak Saidi bersama anak sulungnya, Adnan pergi ke dusun durian untuk membersihkan kawasan dusun tersebut. Setelah selesai membersihkan dusun, mereka melepaskan penat dengan berehat di sebuah pondok yang terdapat dalam dusun tersebut. Sambil berehat di pondok, Adnan mengambil peluang untuk bertanya ayahnya mengapa dusun itu terletak berdekatan dengan kawasan kubur. Ayahnya telah menceritakan tentang asal usul kawasan dusun tersebut. Adnan juga telah bertanya mengenai asal usul keluarganya yang berasal daripada keturunan Minangkabau. Pak Saidi juga telah bercerita kepada Adnan mengenai penentangan orang Melayu terhadap pihak penjajah.
Bab 5 - Harapan Seorang Ibu
Pak Saidi baru pulang dari ladang getah dan ditegur oleh isterinya, Mak Milah. Mak Milah mempelawa Pak Saidi untuk makan tengah hari. Pak Saidi mengajak anak-anaknya untuk makan tengah hari bersama. ketika makan, Pak Saidi tidak lupa untuk memberi nasihat kepada anak-anaknya. Adnan meminta kebenaran daripada ayahnya untuk bersekolah pada tahun hadapan. Mak Milah telah bertikam lidah dengan Pak Saidi untuk menghantar Adnan sama ada di sekolah Melayu, sekolah Inggeris ataupun di sekolah pondok. Akhirnya, Mak Milah akur dengan keputusan yang diambil oleh Pak Saidi.
Bab 6 - Guru Besar Steward
Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris. Walaupun ramai penduduk kampung yang tidak mahu anaknya bersekolah Inggeris kerana kononnya akan menjadi murtad, namun Pak Saidi berfikiran sebaliknya. Dia ingin anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Setiap pagi, sebelum pergi ke sawah, Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal. Tengah hari dia menjemput anaknya dari sekolah.
Bab 7 - Mereka Tidak Mengerti
Penduduk Kampung Sungai Ramal menjadi gempar. Orang ramai heboh bercerita mengenai Pak Saidi yang menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Ramai penduduk tidak bersetuju. Pak Saidi orang pertama yang berbuat demikian. Mereka khuatir anak Saidi akan dipengaruhi oleh Orang Putih. Lebai Pian menyuruh Tok Ketua mengambil tindakan atas perebutan Saidi. Namun, Tok Ketua membantah. Lalu, Tok Ketua menyatakan bahawa anak Lebai Pian mencuri buah rambutan dan durian orang kampung. Nordin iaitu anak Lebai Pian membuat rancangan untuk mengenakan Pak Saidi.
Bab 8 - Seteguh Karang
Ketika sedang berehat di pondok di tepi sawah, Pak Saidi didatangi Pak Karim yang menyampaikan duit hasil jualan getah yang dikirim oleh Ah Chong. Pak Karim juga memberitahu perihal Abu menghasut Tuk Ketua supaya bertindak keras ke atas Pak Saidi berhubung kes Adnan ke sekolah Inggeris. Pak Saidi kemudian menjelaskan orang putih berjaya datang menjajah Tanah Melayu atas faktor ilmu pengetahuan yang tinggi. Bukan senang mengalahkan Inggeris dengan senjata. Pak Karim menyimpan hasrat yang yang sama, tetapi semua empat orang anaknya perempuan belaka.
Pada sebelah petang, Pak Saidi dikunjungi pula oleh Tuk Ketua kampung, Lebai Pian, Pak Karim dan Isa di rumah. Tentang isu Adnan ke sekolah Inggeris, Pak Saidi menegaskan dia tidak mahu anaknya mewarisi pekerjaan bersawah dan bercucuk tanam sahaja. Pak Karim menyatakan sokongannya menyebabkan Lebai Pian melenting. Pak Saidi mencelah dengan kisah umat Islam pada zaman Nabi belajar dengan tawanan Perang Badar. Umat Islam juga digesa menuntut ilmu walaupun ke China. Tambahan pula, Cikgu Nazri Muslim yang taat (kaki masjid). Lebai Pian bungkam, langsung pergi begitu sahaja.
Bab 9 - Anak-anak kampung
Setelah Adnan bersekolah Inggeris, hanya Mamat yang masih sudi berbual dengannya. Mamat tertarik dengan cerita Adnan, tetapi bapanya memberi alasan takut lupa agama. Adnan bersimpati dengan Mamat yang juga bercita-cita menjadi askar seperti dirinya, tetapi sukar dicapai tanpa kebolehan berbahasa Inggeris.
Pada sebelah malam, Pak Saidi terjaga apabila terdengar bunyi bising (tapak kaki) dari bawah rumah. Pak Saidi mengarahkan Mak Milah dan Adnan senyap, sambil dia pergi menyiasat. Pak Saidi memegang parang, manakala Adnan membawa sebatang kayu belati. Pak Saidi menyergah dua lembaga yang terbongkok-bongkok, lalu mereka terus lari. Adnan mengejar dan sempat membaling kayu belati tepat mengenai satu lembaga yang menjerit kesakitan.
Keesokan paginya Adnan mendapati tayar basikal mereka dikerat dengan pisau. Adnan bertegas untuk ke sekolah menyebabkan Pak Saidi meminjam basikal Pak Karim. Pada sebelah petang, Pak saidi ditemani Pak Karim ke kedai basikal Ah Chong di pekan Sungai Ramal. Ah Chong mencadangkan Pak Saidi membeli basikal yang baharu kerana basikal lama itu rosak teruk. Ah Chong sudi menerima bayaran secara ansuran.
Semasa singgah di warung kopi Pak Samad, heboh cerita kaki Nordin yang membengkak. Tiba di rumah, Mak Milah kehairan, lalu Pak Saidi menceritakan hal Adnan membaling kayu belatinya malam semalam. Maka, 'suspek' pencerobohan mereka sudah jelas, walaupun Mak Milah mulanya membantah. Pak saidi tidak mahu peristiwa berkenaan dihebohkan.
Di sekolah, adnan tekun belajar hingga beroleh kedudukan pertama, serta disenangi oleh Cikgu Anderson, penolong guru besar. Anderson bangga akan cita-cita Adnan mahu menjadi askar.
Bab 10 - Masuk Jawi Basikal Baharu
Adnan berdebar apabila tok mudim sampai untuk majlis bersunatnya. Walaupun tetamu lain ketawa mengusik, Adnan hanya berdiam. Mamat dan rakan 'diusir' oleh tok mudim ketika cuba mengintai majlis. Adnan melihat sahaja gelagat tok mudim dengan beg lusuh berisi peraltan khatan, termasuk pisau tajam pastinya.
Tok mudim menenangkan Adnan bahawa kesakitan khatan hanyalah seperti digigit kerengga. Adnan mengimbas kembali kata-kata semangat Pak Saidi, sambil menunaikan segala permintaannya seperti mandi laut dan makan ayam golek. Janji hadiah basikal hanya ditunaikan selepas berkhatan. Ketika Adnan sibuk bertanyakan Pak Saidi, tok mudim menyuruhnya mengucap dua kalimah syahadah dua kali, sambil itu. tok mudim menyelesaikan kerjanya. Setelah dua minggu, Adnan sembuh dan memperoleh basikal idamannya.
No comments:
Post a Comment